Berita Utama

Ini sebab mengapa kalimah Allah mesti dipelihara

Mereka berselindung di sebalik hujah 'bukan hina Islam'

BANGI, 8 Zulkaedah 1444H, Ahad – Tindakan biadab pihak mempersendakan penggunaan kalimah Allah selepas kerajaan menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan sudah dijangka dan ‘mereka’ kini dilihat mula mengambil kesempatan.

Atas sebab itu, umat Islam bersungguh-sungguh mahu kesucian kalimah Allah dipelihara dengan secermat mungkin dan penuh berhati-hati sekali gus menjadi hak eksklusif orang Islam.

Jurucakap Gagasan Bangsa, Haji Aminuddin Yahaya yakin mereka yang ingin menghina Islam boleh berselindung di sebalik hujah ‘agama lain’ atau ‘bukan menghina Islam’.

“Akhirnya, undang-undang yang ada untuk menjaga kesucian agama Islam akan terhakis dan melemah melalui ‘trick’ dan ‘loophole’ sebegini. Mungkin inilah yang sering disebut-sebut sebagai ‘floodgate’ yang telah dibuka.

“Mungkin inilah juga antara implikasi dan impak terhadap penarikan semula rayuan mahkamah oleh pihak kerajaan secara tidak langsung, di mana akan ada yang mempersenda Islam dalam bentuk yang mereka rasakan ‘kreatif’ sebegini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, beliau kecewa kerana masih tidak kelihatan tindakan proaktif kerajaan meskipun Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan agar Kerajaan Persekutuan memperhalusi semula tindakan menarik balik rayuan yang difailkan itu.

“Siapa yang bertanggungjawab? Menteri Dalam Negerikah? Menteri Agamakah? Masing-masing senyap, sunyi sepi seolah-olah mengabaikan sahaja titah tersebut,” katanya.

Lebih mengecewakan baginya, masih tiada tangkapan dibuat walaupun sudah beberapa hari hantaran seorang pengguna Facebook mempersenda kalimah Allah tular dan membangkitkan kemarahan orang Islam.

“Apakah memang tindakan mempersenda kalimah Allah sudah tidak menjadi kesalahan lagi?

“Dari perspektif lain, saya lihat ini juga satu bentuk sindiran dan pertikaian kepada Perdana Menteri yang menyatakan kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh Kristian di Sarawak sahaja, tetapi mesti dibuka kepada seluruh Malaysia. Apakah memang itu yang terbuku dalam hati?

“Jika ya, saya tidak terkejut pun kerana wakil-wakil pimpinan pelbagai agama baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan rasmi menzahirkan hasrat yang sama sehingga mendesak agar enakmen-enakmen negeri dikaji semula,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button