Berita Utama

KPT, KPM akan kerjasama berhubung isu lambakan siswazah perguruan

KPT sedang rangka perubahan dalam menjadikan pengajian di Instititusi Pengajian Tinggi (IPT) lebih menarik.

KOTA TINGGI, 8 Zulkaedah 1444H, Ahad – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mencari kaedah berhubung isu lambakan siswazah perguruan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerjasama bersama KPM amat penting agar isu di bawah KPT itu dapat dikurangkan.

“Adalah sangat penting untuk kita tahu unjuran yang hanya boleh diberikan oleh KPM dan memanglah hasrat kita untuk bekerjasama lebih rapat dengan KPM supaya isu (lambakan graduan perguruan) ini boleh dikurangkan.

“Dengan ramainya yang ambil kursus perguruan kita perlu lihat bahawa keperluan perguruan bukan sahaja dibekalkan untuk sekolah kerajaan, ia boleh juga diletakkan di sekolah swasta dan jadi guru di luar negara,” kata beliau kepada pemberita selepas Program Semarak Komuniti Kota Tinggi bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Sekolah Kebangsaan Sedili Besar, di sini hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Kota Tinggi itu, beliau juga telah memaklumkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk memberi tumpuan kepada pengeluaran guru bagi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Semalam, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang mendedahkan kecenderungan universiti awam serta swasta yang berlumba-lumba menawarkan pengajian pendidikan untuk melahirkan siswazah perguruan tanpa unjuran KPM boleh menyumbang kepada isu pengangguran dalam kalangan graduan bidang terbabit.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata KPT sedang merangka perubahan dalam menjadikan pengajian di Instititusi Pengajian Tinggi (IPT) lebih menarik.

Beliau berkata antara yang dirangka ialah sistem pendidikan secara anjal, yang membolehkan pelajar belajar secara fizikal beberapa tahun dan selebihnya dilaksana secara dalam talian selain beberapa kursus sedang dikenal pasti untuk dipendekkan dari empat tahun kepada tiga tahun.

“Semua sedang diusahakan KPT antara universiti dan industri supaya pelajar (yang telah tamat pengajian) memenuhi keperluan industri dan boleh diambil bekerja.

“Kita juga akan melakukan beberapa perubahan untuk menjadikan belajar di universiti sangat menarik. Kita kenali beberapa program asasi TVET yang membolehkan pelajar masuk dengan kelulusan asas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya strategi kementerian untuk mewujudkan sinergi yang menarik di IPT susulan tarikan ekonomi gig kepada golongan muda dikhuatiri mengurangkan minat mereka terhadap pelajaran dan memasuki IPT. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button