Berita Utama

PKR anggap Faizal Azumu ‘pelawak’, jadi MB Perak dulu pun sebab ihsan

Jika ini level 'Giant', tak hairan mengapa PAS mula pijak Bersatu

BANGI, 8 Zulkaedah 1444H, Ahad – Razeef Rakimin mendakwa Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hanya ‘pelawak’ dan kedudukan bekas Menteri Besar Perak itu sebelum ini dalam pentadbiran hanya disebabkan ihsan rakan sekutu.

Timbalan Ketua Penerangan PKR menegaskan perkara tersebut selepas Ahmad Faizal menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bertanding di Tambun kerana Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu akan kalah dan hanya boleh jadi ‘giant killer’ sekali.

Membidas dakwaan itu, Razeef berkata, kenyataan Ahmad Faizal hanya bertujuan untuk memberitahu kepada umum bahawa beliau seorang ‘giant’ dalam politik tanah air sebaliknya ‘giant’ sebenar politik tanah air ialah Anwar.

“Sebenarnya Peja hanya ‘pelawak’ dan kedudukan beliau sebelum ini hanya kerana ihsan rakan sekutu. Saya mengambil contoh kedudukan beliau selaku Menteri Besar Perak adalah atas ihsan rakan sekutu walaupun parti beliau hanya memenangi satu kerusi pada PRU14 bersama Pakatan Harapan.

“Selepas mengkhianati PH, beliau akhirnya diguling oleh sekutu baharu beliau pada masa itu iaitu UMNO.

“Beliau kemudiannya diberi lantikan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri atas ihsan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum kehilangan jawatan berkenaan dan hanya sempat ‘review’ Mi Kari Putrajaya,” dakwanya dalam kenyataan di Facebook beliau pada Ahad.

Pada masa sama, Razeef mempersoalkan kredibiliti Ahmad Faizal yang seolah-olah mendakwa sebagai ‘giant’ dalam Bersatu.

“Jika inilah level ‘Giant’ dalam Bersatu, saya tidak hairan mengapa hari ini PAS mula memijak Bersatu yang dilihat liabiliti kepada PAS dalam mendepani Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button