Berita Utama

PM umum peruntukan RM5 juta kepada MBM

Golongan belia perlu mempunyai keyakinan, berprinsip, menghormati antara satu sama lain dan tolak segala rasuah.

PORT DICKSON, 8 Zulkaedah 1444H, Ahad – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) setahun bagi memperkasakan golongan muda untuk memacu negara.

Beliau berkata keyakinan dan kesungguhan kepimpinan Presiden MBM Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid telah menjayakan Negara Madani, dengan keyakinan serta sokongan padu para belia di negara ini.

“Kesungguhan pimpinan MBM, termasuk menjayakan Negara Madani dengan keyakinan dan ilmu, maka saya setuju peruntukan RM5 juta setahun. MBM istimewa kerana badan-badan yang mewakilli persatuan, kaum, agama boleh menyatukan para belia dengan semangat perpaduan.

“MBM penting dalam menyelamatkan negara kita dalam membina kekuatan baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2023 di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun serta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh Tseow Suan.

Anwar berkata MBM perlu memperincikan laporan mengenai hala tuju, menerusi peruntukan yang diumumkan itu, dan beliau mahukan dalam tempoh sebulan ini, MBM memberikan laporan mengenai rancangan pertubuhan itu bagi menambah keanggotaan para belia.

“Keduanya memastikan penyertaan wanita di semua peringkat termasuk pimpinan MBM, bermula dengan penyertaan 30 peratus, dan ketiganya memperhebatkan program, ekonomi, latihan serta kebajikan termasuk kesedaran belia dalam menunaikan tanggungjawab mereka dalam negara ini,” katanya.

Beliau berkata para belia perlu mempunyai keyakinan, idealisme, berprinsip, menghormati antara satu sama lain dan tolak segala rasuah.

“Anak muda sekarang mesti sedar bahawa masa depan mereka tentukan, dengan syarat mereka mempunyai komitmen, sikap mahu menimba ilmu dan menolak kemungkaran, tolak rasuah dan kezaliman dan angkat martabat rakyat,” katanya.

Bersempena Hari Belia Negara kali ini yang bertemakan ‘Ini Masa Kita’, Anwar berkata jangan ada pula yang menggunakan agama dan kaum untuk merosakkan negara. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button