Berita UtamaKolumnis

Buat apa tubuh pusat kajian kalau tak perkukuh agenda negara

Kasihan sungguh! Lebih 60 tahun merdeka, takkan masih lagi tak berpadu?

BERAPA banyak pusat kajian nak ditubuhkan lagi satukan rakyat negara ini? Tidak cukupkah lagi kementerian perpaduan negara dan jabatan-jabatan sedia ada?

Tidak cukupkah pusat kajian yang berlambak pada hari ini di dalam dan di luar universiti awam dan swasta? 

Ketika artikel ini diterbitkan, saya dalam perjalanan untuk menemui ibu kepada kepada anak dalam kes perebutan hak penjagaan anak selepas video rakaman yang tular di media sosial baru-baru ini memaparkan seorang ibu dan anak berusia sembilan tahun.

Ibu dan anak ini, terpaksa berpisah, setelah Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan hak penjagaan kanak-kanak terbabit diserahkan kepada bapanya. 

Difahamkan, kanak-kanak itu merupakan anak kepada pasangan Orang Asli yang telah bercerai dan dijaga ibunya yang telah memeluk Islam namun menjadi mangsa perebutan hak jagaan.

Mahkamah Tinggi Kuantan Khamis lepas, memerintahkan kanak-kanak terbabit diserahkan kepada bapanya yang bukan beragama Islam menerusi perintah habeas corpus.

Seperti kebiasaan, apabila ada sahaja masalah, maka timbullah idea agar sebuah pusat kajian ditubuhkan untuk selesaikan sesuatu masalah termasuk isu ini. Ini jawapan yang biasa kita dengar. 

Dalam hal ini, kata Menteri terbabit, tujuannya tidak lain bagi menyelesaikan masalah atau pertikaian antara Islam dengan bukan Islam, seperti kes ini.

Pusat mediasi ini penting sebagai platform untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah yang timbul, terutama melibatkan pertikaian antara orang Islam dan bukan Islam iaitu bapa yang bukan Islam dan ibu serta anak beragama Islam, tanpa memprejudiskan mana-mana pihak.

Menurut pendapat itu lagi, kita tidak mahu mana-mana pihak mengambil peluang ini hingga menyebabkan berlaku perseteruan serta ketidaktenteraman. Kita mahu lahirkan masyarakat bersatu padu dan saling memahami.

Tidak dinafikan, pasti akan golongan berkepentingan yang akan mengambil peluang ini. Ini biasa. 

Sama juga seperti isu perebutan penggunaan kalimah Allah, antara Islam dan bukan Islam. Apakah perlu diwujudkan sebuah pusat lagi? Kenapa pihak berkuasa tidak bertegas? Ada atau tidak orang mengambil kesempatan? Jangan jadi hipokrit.

Negara kita sudah banyak pusat kajian ditubuhkan. Kenapa tidak dimanfaatkan sahaja pusat sedia ada? Jika ditubuhkan lagi sudah tentu melibatkan kos yang banyak. Apatah lagi, dalam keadaan negara yang sedang kesempitan sekarang, bergelut dengan masalah ekonomi.

Di setiap Universiti Awam, boleh dikatakan ada sahaja pusat mediasi dan pusat peradaban. Ini tidak termasuk, pusat kajian sedia ada seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), tempat saya bekerja dahulu. Banyak lagi pusat kajian mediasi yang tidak perlu disebutkan. 

Institusi kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sudah lama ditubuhkan, ada radio IKIM lagi, takkan sekian lama rakyat Malaysia masih tidak faham Islam lagi, sedangkan nama isntitut kefahaman? 

Begitu juga dengan pusat kajian peradaban bukan bukan Islam, pusat kajian berasaskan kaum. 

Lagi pelik, takkan sekian lama duduk di sini, masih terus membiarkan diri jahil dengan Islam, sedangkan Islam agama Persekutuan? Begitu juga kedudukan Rukun Negara. 

Apakah kita perlu tubuh pula pusat kajian Rukun Negara, seperti mana setiap Universiti Awam, ada kelab atau sekretarian Rukun Negara.

Pelik juga ya, kenapa perkara sebenar Rukun Negara, selaku ideologi negara, langsung tidak difahami oleh rakyat jelata. Setiap universiti terpaksa tubuh kelab dan sekretariat. 

Bandingkan dengan negara lain, apakah mereka ada semua pusat kajian yang merupakan agenda negara ini? Semua maklumkan, ia sudah dipaksakan kepada rakyat mereka. 

Perlukah kita kempenkan Rukun Negara setiap tahun, sama seperti kempen bulan bahasa kebangsaan atau kempen bulan perpaduan yang sedang berlangsung.

Kenapa kita kempenkan agenda negara, kenapa perlukan kempen bulan perpaduan, sedangkan ia sudah sepatutnya difahami dan seterusnya dihayati oleh rakyat?

Hairan juga kita, di setiap universiti ada sahaja pusat mediasi peradaban, apakah ia berfungsi atau tidak, atau sekadar menjadi hiasan sahaja.

Misalnya, Institut Kajian Etnik (KITA), sebuah pusat kajian berkaitan etnik, takkan sehingga kini masih tidak ada lagi formula untuk satukan etnik. 

Paling sedih apabila ada yang berkata faktor kedai mamak dan nasi lemak sebagai wahana perpaduan. Ini tidak termasuk sebuah kementerian khas yang ditubuhkan iaitu Kementerian Perpaduan Negara.

Apakah ini bermaksud, setelah lebih 60 tahun merdeka, kita masih lagi tidak berpadu? Kasihan sungguh. 

Pada hemat saya, kita telah gagal dalam membina negara. Sejak awal lagi, kita asyik berpolitik.

Kita perjudikan agenda negara dengan berapa banyak undi boleh dapat. Kita perjudikan agenda negara dengan pilihan raya. Kita perjudikan negara boleh dikatakan dalam segala hal.

Paling malang, kita perjudikan tanah Melayu (rizab Melayu) kepada bukan Melayu. Jika tidak, mana mungkin kita menghadapi pelbagai masalah hari ini.

Jika tidak mana mungkin ramai rakyat negara kita masih tidak menguasai bahasa negara seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Misalnya, taklimat yang diberikan oleh seorang anggota parlimen ultra kiasu di Kuala Lumpur baru-baru ini, berkaitan hak milik tanah leasehold kepada freehold Sri Petaling

Begitu ramai ultra kiasu hadir termasuk wakil rakyatnya, perempuan berusia, baju berbelang-belang, datang bersama pegawai jabatan tanah Kuala Lumpur.

Sedih amat sangat taklimat pegawai pejabat tanah langsung tidak difahami ultra kiasu. Maka wakil rakyat ultra kiasu terpaksa menggunakan bahasa Cina, kerana sebahagian besar ultra kiasu Cina yang hadir tidak tahu berbahasa Melayu

Bergenerasi tinggal di Tanah Melayu (tanah leasehold) tetapi tidak tahu berbahasa Melayu, tidakkah ada ada malu untuk meminta jadi freehold.

Lepas itu nak minta kerajaan mengurangkan harga penukaran status dari ‘leasehold’ kepada ‘freehold’. 

Kenapa ultra kiasu langsung tidak ada rasa malu. Malah wakil rakyat, baju belang-belang, bukan main tegar memperjuangkan hak mereka. Sanggup ubah bahasa kepada bahasa Cina, bagi memudahkan mereka faham.

Saya sarankan kerajaan Malaysia Madani, sebagai wakil rakyat, tanggungjawab pertamanya adalah memastikan rakyat menjunjung agenda negara

Kenapa wakil rakyat tidak mahu ambil tahu langsung agenda nasional. Tetapi bila tiba perkara berkaitan kerakyatan, tanah dan sebagainya, begitu beriya-iya memperjuangkan. Nampak tak hipokrasi wakil rakyat ultra kiasu ini.

Nak freehold tetapi tidak tahu bahasa Melayu, tak malukah? Jika sayalah penguasa, saya akan paksakan ultra kiasu menguasai bahasa Melayu sebelum diberikan kemudahan seperti leasehold kepada freehold.

Melihat kepada semua isu sesama yang berlaku ini, buatlah apa juga nama pusat kajian yang akan ditubuhkan, yakinlah, sukar untuk kita melihat akan keberkesanannya.

Justeru, sebelum kita tubuhkan apa juga pusat kajian, saya mohon pihak berkuasa lakukan sesuatu.

Paksakan agenda negara untuk dihayati kepada rakyat yang hidup dalam negara ini. Di negara jiran kita seperti Indonesia dan Thailand, tidak ada kompromi dalam agenda negara. Ia dipaksakan. 

Berbeza dengan kita, terlalu berpolitik. Kita perjudikan negara denga berapa undi boleh dapat. 

Akhirnya, saya amat mengharapkan pertemuan saya dengan ibu kepada perebutan anak orang Asli ini akan membuah hasil, bukannya dengan menubuhkan sebuah lagi pusat kajian.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button