Berita UtamaDunia

Erdogan pertahan jawatan Presiden Turkiye

Peroleh 52.14 peratus undi mendahului Kemal Kilicdaroglu

ANKARA, 9 Zulkaedah 1444H, Isnin – Recep Tayyip Erdogan dipilih semula sebagai Presiden Turkiye dalam pusingan kedua pilihan raya presiden pada Ahad.

Bercakap kepada pemberita di Ankara, Pengerusi Majlis Pilihan Raya, Ahmet Yener berkata, Erdogan mempertahankan jawatan Presiden Turkiye mengalahkan pencabarnya, Kemal Kilicdaroglu.

Menurut keputusan tidak rasmi, Erdogan mendahului dengan 52.14 peratus undi, manakala Kilicdaroglu memperoleh 47.86 peratus undian.

Kira-kira 99.43 peratus peti undi telah dibuka setakat ini.

Dalam ucapan di Istanbul, Erdogan berkata, 85 juta rakyat Turkiye adalah pemenang dalam pilihan raya negara yang berakhir pada Ahad.

Lebih 64.1 juta orang telah berdaftar untuk mengundi, termasuk lebih 1.92 juta pengundi luar negara.

Hampir 192,000 peti undi disediakan untuk pengundi di seluruh Turkiye.

Pada 14 Mei lalu, tiada calon memenangi 50 peratus undi yang diperlukan pada pusingan pertama, mencetuskan pusingan kedua pada Ahad – walaupun Erdogan mendahului dengan 49.52 peratus.

Pada masa sama, Perikatan Rakyat juga memenangi majoriti di Parlimen.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button