Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

KJ fail saman fitnah RM1 juta terhadap Jamal Yunos

Mahkamah Tinggi KL tetapkan esok bagi pengurusan kes

KUALA LUMPUR, 9 Zulkaedah 1444H, Isnin – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memfailkan saman terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung kenyataan media yang didakwa berunsur fitnah semasa Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada Januari lepas.

Sidang media itu diadakan berhubung dakwaan UMNO mengimport perwakilan dari luar yang bukan perwakilan untuk mengundi usul supaya jawatan nombor satu dan dua tidak dipertanding.

Khairy, yang memfailkan writ saman pada 24 Mei lepas melalui firma guaman Tetuan Aizat Izuan Shakeel, menuntut ganti rugi khas RM1 juta, ganti rugi am, perintah supaya Jamal menerbitkan permohonan maaf di akaun Facebook dan TikToknya serta dalam akhbar utama berbahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

Dalam pernyataan tuntutan, Khairy berkata, semasa perhimpunan agung yang berlangsung pada 14 Januari lepas, Jamal mengadakan sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) yang dihadiri oleh pengamal media, perwakilan UMNO dan beberapa ahli serta pemimpin parti itu.

Beliau mendakwa pada hari sama, Jamal telah memuat naik rakaman video bertajuk “Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas mengeluarkan kenyataan yang semberono dan memalukan UMNO #UmnoDuluKiniDanSelamanya” di laman Facebook di bawah nama DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official).

Khairy berkata, Jamal turut memuat naik rakaman sama di akaun TikTok di bawah nama pengguna ‘jamal_yunos.’

Beliau mendakwa, kenyataan berbaur fitnah itu antaranya membawa maksud beliau adalah pemimpin yang tiada integriti, seorang individu tiada kredibiliti untuk memimpin dan terbabit atau melakukan jenayah rasuah.

Dakwanya ia juga membawa maksud bekas Ahli Parlimen Rembau itu telah melaksana dan menerapkan pendekatan rasuah untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan ahli parti demi kepentingan peribadi serta tidak layak menjadi seorang pemimpin selain tidak setia kepada UMNO dan pemimpin parti.

Mahkamah Tinggi menetapkan esok bagi pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nik Nur Amalina Mat Zaidan.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button