Berita Utama

KDN sasar 75 peratus klien AADK pulih tahun ini

Berhasrat jadikan PUSPEN institusi peluang kedua untuk individu tercicir

PADANG BESAR, 10 Zulkaedah 1444H, Selasa – Kementerian Dalam Negeri menyasarkan sebanyak 75 peratus daripada 100 klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pulih pada tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun kadar peratusan ini agak tinggi, dengan model pemulihan yang sentiasa ditambah baik, beliau yakin AADK mampu mencapainya.

“Pada 2022, bagi setiap 100 klien AADK, 71 orang telah berjaya pulih daripada masalah ketagihan dadah dan ini perlu dikekalkan sepanjang hayat, bukannya untuk tiga empat tahun sahaja…

“Justeru itu, segala usaha kebersamaan dan sokongan berterusan masyarakat yang diberikan kepada klien adalah antara modal sosial yang penting dalam mengekalkan kepulihannya,” katanya ketika berucap di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Chabang di sini malam tadi yang dirasmikan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Saifuddin Nasution juga berkata, KDN berhasrat menjadikan PUSPEN sebagai institusi yang boleh memberi peluang kedua kepada individu tercicir dan tergelincir untuk mengikuti proses pemulihan berasaskan Model i-Pulih AADK yang merangkumi aspek akal, rohani serta jasmani. 

Beliau berkata, modul dan silibus yang diikuti di PUSPEN disusun dengan rapi bagi membolehkan klien didedahkan dengan ilmu serta pengetahuan dalam bidang kerohanian, pengurusan diri, kesihatan dan kemahiran vokasional. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button