Berita Utama

Nilai ringgit jatuh bawa kebaikan, BERJASA bidas ‘teori’ Rafizi

Kejatuhan ringgit beri impak besar pada inflasi, kenaikan harga barang

BANGI, 10 Zulkaedah 1444H, Selasa – BERJASA membidas Rafizi Ramli susulan kenyataan Menteri Ekonomi itu mengenai kejatuhan nilai ringgit yang didakwanya ada kebaikan kepada negara.

Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan berkata, kenyataan Rafizi seolah-olah memperlihatkan beliau mengambil mudah isu ini, malah disifatkan seperti menambah minyak ke dalam api tatkala rakyat kini terhimpit dengan krisis ekonomi ekoran inflasi serta kejatuhan nilai ringgit.

Beliau berkata, kenyataan Rafizi tidak wajar kerana ia sudah pasti mewakili kerajaan, memandangkan beliau memegang jawatan menteri kanan kepada Perdana Menteri.

“Apa yang dinyatakan oleh Rafizi hanya mewakili sebahagian pendapat sahaja, sedangkan di sisi lain adalah kejatuhan nilai mata wang ringgit akan memberikan impak yang besar kepada inflasi dan kenaikan harga barang.

“Ini secara tidak langsung akan terus membebani rakyat dengan kos sara hidup yang meruncing,” katanya seperti dilapor dalam Gelombang Berjasa.

Justeru, Fahmi menegaskan, seharusnya setiap kenyataan yang dibuat menteri perlu bertanggungjawab dan memenuhi kehendak survival rakyat serta negara.

Katanya, kerajaan sepatutnya memfokuskan sepenuhnya kepada usaha menstabilkan pasaran supaya mata wang negara stabil dan bertambah baik.

“Cuba kerajaan fikirkan nasib-nasib peniaga ini. Mereka yang sebenarnya menjadi mangsa kepada ketidaktentuan nilai mata wang ringgit kita ini.

“Barang-barang import terutamanya akan menjadi mahal dan menjejaskan peniaga yang terpaksa mengeluarkan kos yang besar untuk membelinya,” katanya.

Menurut Fahmi, ini termasuklah isu baharu membabitkan masalah kekurangan bekalan gula di pasaran.

“Tiba-tiba kerajaan keluarkan kenyataan bahawa pengeluar gula dibenarkan menjual gula mereka tanpa harga apungan dan mengeluarkan gula ‘premium’ sendiri.

“Secara automatik gula selepas ini bakal keluar daripada produk kawalan harga. Kerajaan sepatutnya datangkan bersama solusi untuk isu ini kerana mustahil rakyat tidak tertekan dengan kesempitan ekonomi kini,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi dilaporkan berkata penyusutan nilai ringgit yang direkodkan sejak dua minggu ini turut membawa kebaikan kepada negara.

Beliau berkata, meskipun nilai ringgit jatuh, kerajaan belum bercadang untuk menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button