Berita Utama

PDRM buka kertas siasatan tuntutan waris kesultanan Sulu

KPN beri jaminan siasatan terperinci akan dilaksanakan

BANGI, 10 Zulkaedah 1444H, Selasa – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima satu laporan dibuat Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud terhadap sekumpulan penuntut yang mendakwa pewaris Kesultanan Sulu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani berkata, laporan itu dibuat susulan tuntutan oleh kumpulan berkenaan melalui notis timbang tara yang diserahkan kepada kerajaan Malaysia pada 30 Julai 2019.

Beliau berkata, kumpulan itu membuat tuntutan membabitkan anggaran melebihi AS$32 bilion, sekali gus menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara.

“Susulan laporan polis tersebut, PDRM melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 124(K) Kanun Keseksaan iaitu sabotaj.

“PDRM memandang serius sebarang elemen yang boleh menganggu gugat ketenteraman awam khususnya perbuatan sabotaj terhadap keselamatan, kedaulatan dan kestabilan negara serta memberi jaminan siasatan terperinci berhubung perkara tersebut akan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button