
BANGI, 10 Zulkaedah 1444H, Selasa – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, tiada sebarang langkah atau gerakan yang menawarkan PAS untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.
Bahkan, beliau berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan secara rasmi dalam kalangan 19 pemimpin parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan.
“Tidak juga pernah dibincangkan di kalangan pengerusi gabungan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, jika ada pun yang mendakwa kononnya bertemu dengan pemimpin atau lapisan kepimpinan parti berkenaan, itu kami tidak anggap sebagai perjumpaan rasmi dan tidak ada satu gerakan dibuat ke arah itu.
“Hakikatnya kestabilan politik yang sedang wujud di Malaysia (penting) walaupun kita berbeza pendirian dan pendapat. Ia harus diraikan mengikut tatasusila menangani perbezaan pendapat, kalau mereka faham tentang aspek berkenaan,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, tidak ada satu parti yang bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan akan mempercayai PAS, khususnya mengenai dakwaan dibuat.
“Oleh demikian apa pun dakwaan yang dikeluarkan mana-mana pihak yang perasan mereka sangat-sangat diperlukan mereka harus memperlihatkan dan terjemahnya menerusi perbahasan di Parlimen atau ketika akta-akta tertentu dibentangkan atau pada sidang akan datang.
“Saya serik dengan parti berkenaan, parti ini mereka berkahwin mutaah (sementara) dalam bidang politik.
“Dalam kalangan kami tidak ada yang percaya kepada mereka setelah mereka tidak mengotakan janji dan piagam sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa beberapa individu daripada Kerajaan Perpaduan menawarkan parti itu menyertai Kerajaan Perpaduan.
Perkara sama turut disuarakan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tawaran berkenaan tidak pernah wujud dan bukan datang daripadanya.