Israel serbu sekolah Palestin, ancam tembak murid dan guru
Pelajar diugut, serangan di sekolah amalan biasa rejim Zionis

TEBING BARAT, 11 Zulkaedah 1444H, Rabu – Pasukan pendudukan Israel menyerbu dan mengancam menembak murid serta guru di sebuah sekolah rendah Palestin di bandar Beitunia, barat Ramallah di Tebing Barat yang diduduki.
Menurut agensi berita Wafa, tentera pengganas Israel menyerbu Sekolah Rendah Al-Kurom dan menyoal siasat murid dan guru sambil mengacukan senjata, serta mengancam menembak mereka yang cuba melarikan diri.
Serangan ke atas sekolah adalah amalan biasa pengganas Israel, termasuk menghalang akses serta mengugut pelajar termasuk menempatkan pasukan tentera di kawasan sekitar.
Tindakan zalim itu berlaku selepas 10 negara Eropah, termasuk Belgium, Perancis, Itali, Sepanyol, Sweden, United Kingdom, Denmark, Finland, Jerman, Ireland dan Pejabat Kesatuan Eropah (EU) ke Tebing Barat serta Gaza, bagi menggesa Israel menghentikan dasar perobohan rumah dan rampasan harta benda Palestin di wilayah yang diduduki.
10 negara itu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan meroboh sekolah yang dibiayai penderma di Jubbet Adh Dhib baru-baru ini, selain menyatakan kebimbangan terhadap ancaman perobohan 57 lagi sekolah di Tebing Barat.
Israel sering kali menggunakan alasan permit pembinaan untuk ‘menghalalkan’ aktiviti perobohan rumah penduduk Palestin, terutamanya di Kawasan C – yang berada di bawah kawalan tentera.
Rejim itu telah menjajah Tebing Barat sejak 1967 dan pencabulan hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin serta pelanggaran undang-undang antarabangsa adalah amalan biasa pengganas Israel setiap hari.- Agensi