Nurul Izzah nafi bertanding PRN Pulau Pinang
Gesa media jangan percaya kepada dakwaan tidak berasas

BANGI, 11 Zulkaedah 1444H, Rabu – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyangkal laporan kononnya bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang tidak lama lagi.
Menerusi hantaran di Twitter, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh menegaskan, dakwaan berkenaan sebagai tidak benar.
Katanya, beliau tetap komited dengan peranannya sebagai pengerusi bersama dalam Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang diketuai Tan Sri Mohd Hassan Marican.
“Saya menggesa media untuk bertanggungjawab dalam laporan mereka dan tidak memberikan kepercayaan kepada dakwaan tidak berasas,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal berita yang memetik sumber melaporkan, Nurul Izzah dijangka bertanding dalam PRN Pulau Pinang dan dilantik ke jawatan penting, sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya menguasai negeri itu.
Sumber yang enggan dinamakan itu mendakwa, penyertaan Nurul Izzah dalam PRN boleh meningkatkan peluang partinya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan membantu mendapatkan undi golongan wanita.