Berita Utama

Institusi pendidikan patut bebas campur tangan politik

Semua negeri harus ikut acuan yang sudah disediakan KPM

BANGI, 12 Zulkaedah 1444H, Khamis – Pengaruh politik dalam sistem pendidikan Malaysia perlu dihentikan kerana boleh merencatkan perkembangan pelajar dalam menghadapi dunia sebenar.

Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya, Dr Abd Razak Zakaria berkata, institusi pendidikan perlu berdiri sendiri tanpa sebarang pengaruh politik.

Beliau juga berkata pendidikan perlu berkembang secara semulajadi dalam menghasilkan manusia seimbang dan harmonis seperti terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Beliau memberi contoh sistem pendidikan yang diterapkan oleh negara Amerika Syarikat (AS) dan beroperasi secara bebas tanpa campur tangan mana-mana parti politik.

Setiap negeri di AS mempunyai asas pendidikan sendiri dan 56 negeri bergabung di bawah satu bumbung berbeza-beza asas pendidikan mereka dan setiap negeri bebas menentukan hala tuju pendidikan mereka, katanya.

“Justeru, sekolah bebas membentuk acuan dengan keperluan masyarakat dan desentralisasi ini memberi ruang kepada setiap negeri memacu hala tuju pendidikan tanpa gangguan politik.

“Kesan daripada itu, pelajar di negara maju menjalani pembelajaran di sekolah dengan santai dan tidak tertekan.

“Sekolah menjadi medan untuk mendapatkan ilmu secara terbuka, manakala tenaga pengajar juga lebih bersikap terbuka dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP),” katanya.

Tambah beliau, tiada sebarang campur tangan dari pihak kementerian AS terhadap insitusi pendidikan kerana urusan pendidikan diberikan sepenuhnya kepada setiap negeri untuk menguruskan asas pendidikan masing-masing.

“Berbanding dengan pendidikan di negara kita lebih menitikberatkan penilaian secara peperiksaan. Kementerian Pendidikan (KPM) menentukan sepenuhnya hala tuju pendidikan di negara ini dengan semua berkaitan pendidikan diatur selia oleh KPM.

“Semua negeri harus mengikut acuan sudah disediakan KPM tanpa memberi ruang kepada sekolah di setiap negeri menentukan hala tuju mereka sendiri.

“Tidak hairanlah kalau kita melihat pelajar yang mengikut acuan KPM tidak mencapai sepenuhnya matlamat pendidikan diciptakan,” katanya.

Pautan artikel : https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2023/05/1108236/sekolah-sektor-pendidikan-perlu-bebas-campur-tangan-politik

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button