Jambatan Bagan Datuk tarik minat pelabur
Tiga pelabur berasingan menghantar surat tunjuk minat

BAGAN DATUK, 12 Zulkaedah 1444H, Khamis – Pembukaan Jambatan Bagan Datuk telah menarik minat pelabur yang akan memanfaatkan pembangunan serta ekonomi penduduk di sekitar kawasan itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata setakat ini tiga pelabur berasingan yang berhasrat membangunkan kilang kenderaan berat, kilang membuat bateri dan kenderaan elektrik (EV) serta limbungan kapal (pembinaan dan menyelenggara kapal) telah menghantar surat tunjuk minat kepada beliau.
Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, beliau akan mengkoordinasi kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkaitan permohonan yang dijangka menawarkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan itu.
“Malah pihak MARA (Majlis Amanah Rakyat) sendiri umpamanya menjadikan GiatMARA di Hutan Melintang dalam daerah Bagan Datuk ini, untuk ditukar menjadi penyumbang bagi tenaga mahir TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional) dalam membantu pembaikan kapal, pembinaan ataupun pembuatan kenderaan termasuk kenderaan elektronik (EV) yang akan dilakukan.
“Jadi maknanya kita lakukan penyelarasan Politeknik, GiatMARA, kolej komuniti bagi menampung keperluan apabila ketiga-tiga kemudahan dan pelaburan ini dapat dilakukan. Ketiga-tiga pelaburan ini Insya-Allah akan memberikan 10,000 peluang pekerjaan sebelum 2027,” katanya pada sidang media di sini hari ini,” katanya.
Terdahulu, beliau melancarkan laluan baharu bas henti-henti Bas Ekspres MARA Liner Sdn. Bhd. (MLSB) (Laluan Bagan Datuk) di pekarangan Masjid Tuminah Hamidi di sini, sebelum melancarkan pembukaan jambatan itu. -Bernama