Berita Utama

Kritik Rafizi, PKR persoal tahap pemikiran Puad

'Jangan gopoh buat kenyataan sebaliknya selidik dulu'

BANGI, 12 Zulkaedah 1444H, Khamis – Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi tidak peka perkembangan ekonomi negara apabila mempersoalkan langkah di ambil kerajaan bagi mengatasi masalah ekonomi rakyat.

Menyelar Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, Timbalan Ketua Penerangan PKR, Datuk R Ramanan menegaskan, pergerakan sektor ekonomi negara sudah pun kembali rancak ketika ini.

“Saya juga ingin mempersoal tahap pemikiran Puad apabila beliau bertanya mengenai ketiadaan dasar yang lebih baik berbanding Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

“Adakah beliau maksudkan BR1M adalah dasar terbaik yang pernah ada.

“Jika ini tahap pemikiran Puad, Saya ingin menyatakan BR1M bukan dasar terbaik kerana tidak dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Puad secara terbuka menegur Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dengan menyatakan tidak nampak langkah signifikan dilakukan untuk ekonomi negara.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh turut menasihat supaya Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu tidak gopoh dalam membuat kenyataan sebaliknya selidik terlebih dahulu.

“Puad juga cuba melakukan provokasi dengan menyatakan “Rafizi turun, ringgit naik.”

“Saya yakin Mohd Puad tahu penyusutan nilai ringgit sejak Februari 2023 adalah rentetan daripada pelbagai krisis yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) dan keadaan itu berada di luar kawalan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, sebagai salah seorang pemimpin parti politik dalam Kerajaan Perpaduan, beliau seharusnya membantu menerangkan kepada rakyat bukannya mencari populariti dengan cuba menimbulkan keraguan.

Katanya terdapat banyak lagi kaedah lain yang lebih baik untuk mencari populariti.

Pautan berkaitan:
https://ismaweb.net/2023/05/31/apa-rafizi-buat-ini-masalahnya-bila-banyak-sangat-formula/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button