Berita Utama

Lelaki bunuh, bakar kekasih hamil didakwa hari ini

Sebelum kejadian suspek pukul kepala mangsa sehingga pengsan

SHAH ALAM, 12 Zulkaedah 1444H, Khamis – Lelaki disyaki membunuh dan membakar teman wanitanya yang hamil empat bulan di kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar minggu lepas akan didakwa pagi ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata, bekas penuntut kolej itu akan dituduh di Mahkamah Majistret Sungai Besar.

Media sebelum ini melaporkan luka akibat tikaman di dada menjadi punca seorang pelayan restoran maut selain dikelar di perut sebelum mayat mangsa dibakar oleh teman lelakinya.

Pada 24 Mei lepas, Agus Salim dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam, berkata suspek yang berusia 20 tahun telah membawa mangsa menaiki kereta sebelum bertengkar dengan wanita itu dan bertindak memukul kepalanya sehingga pengsan.

Beliau berkata suspek kemudian menikam mangsa menggunakan pisau dapur serta menoreh perut wanita berusia 21 tahun itu sebelum membakar mayat kekasihnya pada malam kejadian dan kembali semula ke lokasi kejadian keesokan harinya dengan membawa tong berisi petrol untuk membakar mayat tersebut sekali lagi.  – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button