Dunia

Penafian Nakba satu jenayah

Penubuhan negara haram Israel langgar hak asasi

RAMALLAH, 12 Zulkaedah 1444H, Khamis – Pihak Berkuasa Palestin (PA), Presiden Mahmoud Abbas mengeluarkan dekri bahawa penafian insiden Nakba adalah satu bentuk jenayah.

Beliau mendefinisikan Nakba sebagai jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin pada tahun 1948, dan pihak yang menafikan insiden tersebut boleh dipenjarakan sehingga dua tahun.

Pihak berkuasa negeri yang berkaitan ditugaskan untuk menghukum pelaku berdasarkan undang-undang di dalam atau luar negeri.

Lebih-lebih lagi, dekri itu menetapkan 15 Mei sebagai hari rasmi untuk memperingati Nakba dan mengadakan aktiviti untuk mewujudkan naratif kebangsaan Palestin di Palestin dan di seluruh dunia.

Hari Nakba ditanda setiap tahun oleh rakyat Palestin untuk mengingati pengusiran ratusan ribu rakyat Palestin dari rumah dan tanah mereka pada tahun 1948 untuk memberi laluan kepada penubuhan negara haram Israel.

Dekri itu dibuat selepas Abbas berucap pada acara PBB yang diadakan bagi memperingati ulang tahun ke-75 Nakba, menyeru masyarakat antarabangsa menggantung keahlian Israel dalam PBB kerana menghalang pelaksanaan resolusi PBB dan undang-undang antarabangsa.

Dia juga mendakwa AS dan UK berdiam diri terhadap pencerobohan yang berterusan dan enggan menghukum Israel atas pendudukan tanah Palestin dan pembinaan penempatan haram.

Menurut Biro Perangkaan Pusat Palestin, Nakba mengakibatkan pemindahan hampir 800,000 rakyat Palestin daripada 1.4 juta rakyat Palestin yang tinggal di Palestin bersejarah pada 1948 di 1,300 kampung dan pekan. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button