Berita Utama

BERJASA ajak Melayu bersatu sekat agenda ‘Malaysian Malaysia’

Syor wujud Gagasan Watan halang rancangan DAP meliberalkan negara

BANGI,13 Zulkaedah 1444H, Jumaat – BERJASA mengajak parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh Melayu bersatu di bawah satu gagasan bagi memastikan agenda ‘Malaysian Malaysia’ – yang diperjuangkan DAP – tidak direalisasikan di negara ini.

Atas dasar itu, Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim mencadangkan supaya mewujudkan Gagasan Watan, yang menggabungkan parti politik, NGO dan tokoh nasional Melayu untuk menyekat perancangan DAP menjadikan Malaysia negara liberal – di mana Malaysian Malaysia sebagai tunggak pentadbirannya.

Beliau menegaskan, tempoh ini bukanlah masa untuk berbincang mengenai agenda perjuangan DAP itu, sebaliknya ruang bagi orang Melayu bersatu dan duduk bersama di meja rundingan.

“Kita perlu kepada Gagasan Watan yang menggabungkan parti-parti, NGO, tokoh nasional dalam satu gabungan padu membawa naratif penyatuan orang Melayu.

“Saya yakin kalau ini berlaku, kita akan menjadi batu penghalang besar kepada agenda DAP untuk membawa Malaysian Malaysia di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam video berdurasi empat minit yang dimuat naik di Facebooknya, sebagai respon kepada kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu membawa cita-cita Malaysian Malaysia.

Menurut Zamani, sebagai negara Islam, orang Melayu tidak boleh membenarkan atau memudahkan agenda DAP terlaksana dengan menjadikan Malaysia negara liberal.

“Orang Melayu kalau mempunyai dominasi yang kuat, maka negara akan aman bangsa lain hidup bahagian di bawah payung kuasa orang Melayu yang adil.

“Saya nak mengajak pemimpin parti khususnya pemimpin parti Islam nasionalis, Islamik jangan kita tamak kerusi jangan tamak parti kita yang terbaik, tapi bawa bersama di meja perundingan,” katanya.

Beliau menegaskan, walaupun orang Melayu mempunyai banyak pecahan parti, agenda bangsa seharusnya terus menjadi keutamaan, termasuk memastikan tiada perpecahan.

“Saya menyeru kepada semua jangan berpecah, orang kata parti dah banyak berpecahlah. Kita lawan sangkaan itu.

“Banyak parti kita berpadu dengan satu gabungan besar yang dipanggil Gagasan Watan, himpunkan parti, NGO dan tokoh serta kita bawa naratif Melayu mesti mempunyai dominasi yang kuat dan satu kuasa-kuasa yang ada dan akhirnya orang Melayu yang menjamin kemakmuran kemajuan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button