Demi nasib Melayu, Muhyiddin ‘sambut’ kerjasama dengan Tun M
Perkembangan politik letak umat Melayu-Islam di persimpangan getir

BANGI, 13 Zulkaedah 1444H, Jumaat -Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut baik kesediaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bekerjasama demi matlamat memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam di negara ini.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau sedar perkembangan politik mutakhir ini meletakkan umat Melayu dan Islam di negara ini di suatu persimpangan yang getir.
Atas dasar itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu secara peribadi bersedia bekerjasama dengan semua tokoh Melayu-Islam, termasuk Dr Mahathir dalam memperjuangkan agama, bangsa serta negara.
“Saya menyambut baik kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersedia bekerjasama dengan saya demi matlamat untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.
“Maka sebagai seorang muslim, saya secara peribadi bersedia untuk bekerjasama dengan semua tokoh Melayu dan Islam termasuk Tun Dr Mahathir demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Semalam, Dr Mahathir dilaporkan bersedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekiranya kedua-dua pihak mencapai matlamat sama.
Bekas pengasas Bersatu itu berkata, usaha untuk memperjuangkan nasib orang Melayu perlu dijadikan antara matlamat utama, selain menolak individu yang terpalit dengan isu rasuah atau salah laku jenayah.
Katanya, masyarakat Melayu yang berpecah mengikut politik kepartian mengakibatkan parti politik Melayu sukar untuk memperbetulkan sebarang keadaan.
“Kita hendak adakan kerjasama, tetapi matlamat mesti ditentukan. Kita (Melayu) berpecah jadi banyak parti, kita hilang kuasa.
“Bila hilang kuasa, kita tidak boleh betulkan keadaan yang merugikan orang Melayu. Sebab itu kita perlu bersatu,” katanya.
Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2023/06/01/tun-mahathir-sedia-kerjasama-dengan-bersatu/