NATO akan runding dengan Turkiye isu keahlian Sweden
Erdogan boleh teruskan proses ratifikasi selepas pilihan raya berakhir

OSLO,13 Zulkaedah 1444H, Jumaat – Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg akan mengadakan perjumpaan dengan Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan bagi membincangkan keahlian Sweden dalam NATO, selepas tertangguh berikutan bantahan daripada Turkiye dan Hungary.
Beliau memaklumkan perkara demikian ketika mesyuarat dua hari bersama Menteri Luar NATO di Oslo sambil menjelaskan telah memaklumkan perkara berkenaan kepada Erdogan yang dipilih semula sebagai Presiden Turkiye.
“Saya akan ke Ankara dalam masa terdekat ini untuk membincangkan kemasukan Sweden dengan segera,” katanya.
Beberapa menteri luar NATO menyatakan keyakinan Turkiye akan menarik balik bantahannya terhadap tawaran Stockholm bagi menyertai pakatan.
Mac lalu, Turkiye hanya mengesahkan penyertaan Finland sahaja dan masih menganggap Sweden sebagai negara pengganas serta memiliki kumpulan militan.
“Pilihan Raya Turkiye sudah berakhir dan ini adalah masa sesuai kepada Erdogan meneruskan proses ratifikasi,” kata Menteri Luar Finland, Pekka Haavisto.
Sementara itu, Stoltenberg di akhir mesyuarat berharap Turkiye menerima kemasukan negara berkenaan selepas Sweden melaksanakan undang-undang keganasan baharu, sekali gus boleh mengurangkan kebimbangan Turkiye terhadap negara tersebut. – Agensi