Skim Perubatan Madani di 10 daerah mula 15 Jun
GP dipelawa sertai program rintis sebagai klinik panel: Dr Zaliha

PUTRAJAYA, 13 Zulkaedah 1444H, Jumaat – Pengamal perubatan swasta umum (GP) di 10 daerah dipelawa untuk menyertai program rintis Skim Perubatan Madani yang bermula hari ini sebagai klinik panel.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, 10 daerah itu terbabit adalah di Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling di Selangor, Kuala Lumpur, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) serta Kuching (Sarawak).
“KKM dengan ini menjemput GP di lokasi yang terlibat untuk mendaftar sebagai klinik panel Skim Perubatan Madani bermula hari ini dengan melayari laman sesawang ProtectHealth di www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani atau menghubungi talian 03-86872525.
“ProtectHealth juga akan menganjurkan sesi taklimat dan latihan secara dalam talian kepada GP yang berdaftar untuk penerangan lebih lanjut mengenai Skim Perubatan Madani,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Dr Zaliha, Skim Perubatan MADANI adalah perkhidmatan kesihatan percuma kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang terdiri daripada golongan B40.
Skim itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2023 Februari lepas dan sebagai salah satu inisiatif kerajaan mengatasi isu kesesakan pesakit di kemudahan kesihatan kerajaan.
Katanya, ia bertujuan untuk membantu golongan B40 mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut (rawatan pesakit luar kes-kes akut) di GP berhampiran, sekaligus mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu pesakit di kemudahan kesihatan kerajaan.
Beliau berkata, penerima boleh mendapatkan rawatan melalui skim itu bermula 15 Jun ini.