Berita UtamaDunia

Erdogan angkat sumpah Presiden Turkiye baharu

Umum barisan Kabinet selepas majlis makan malam pelantikan

ANKARA, 14 Zulkaedah 1444H, Sabtu – Recep Tayyip Erdogan yang memenangi pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Turkiye minggu lalu dijangka mengangkat sumpah sebagai Presiden baharu, hari ini.

Dalam pilihan raya penentu itu, Erdogan berjaya menewaskan pencabarnya, Kemal Kilicdaroglu selepas meraih 52.14 peratus undi.

Manakala Kilicdaroglu hanya menerima 47.86 peratus undi.

Pemimpin paling lama memerintah Turkiye itu juga dijadual mengumumkan barisan Kabinetnya selepas majlis makan malam pelantikan.

Pilihan raya penentu itu berlangsung ketika Turkiye dilanda krisis kos sara hidup yang menyaksikan kadar inflasi memuncak pada 85 peratus Oktober tahun lalu serta tragedi gempa bumi mengorbankan lebih 50,000 penduduk.

Upacara mengangkat sumpah itu akan diadakan di Parlimen, diikuti dengan penganjuran majlis makan malam di Istana Presiden di Ankara.

Erdogan, 69, menjadi Perdana Menteri pada 2003 selepas Parti AK dipimpinnya memenangi pilihan raya pada akhir 2002 susulan krisis ekonomi terburuk Turkiye sejak 1970-an.

Malah, pada 2014 beliau menjadi Presiden pertama dipilih secara popular di negara itu sebelum dipilih semula pada 2018 selepas memperoleh kuasa eksekutif baharu untuk jawatan Presiden dalam referendum 2017. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button