Kerajaan perlu latih syarikat tempatan bangunkan sumber nasional sendiri
Tak perlu harapkan syarikat asing jana keuntungan untuk negara

BANGI, 14 Zulkaedah 1444H, Sabtu – Parti BERJASA mengesyorkan supaya Kerajaan Madani membangunkan syarikat tempatan sehingga berkebolehan untuk menjana keuntungan dari sumber negara, sekali gus tidak lagi bergantung harap kepada syarikat luar.
Presidennya, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, Malaysia tidak mempunyai syarikat tempatan yang mampu membangunkan sumber nasional negara.
Disebabkan tiada syarikat tempatan yang berkemampuan, ia menyebabkan negara terpaksa berkongsi hasil keuntungan sumber negara dengan syarikat luar, katanya.
“Jadi persoalannya, mengapa syarikat luar mampu memproses sumber negara kita, sedangkan syarikat tempatan kita tak mampu.
“Atas sebab itu, kerajaan mesti melihat bagaimana untuk membangunkan syarikat tempatan sehingga berkemampuan, berkemahiran, dan mempunyai kepakaran untuk memproses sumber nasional negara kita ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi sebuah video yang dimuat naik di akaun TikTok rasminya hari ini, sebagai cadangan kepada pihak kerajaan agar tidak terlalu mengharapkan syarikat luar supaya hasil keuntungan sumber negara dapat dinikmati syarikat tempatan.
Mengulas lanjut, beliau memberikan contoh negara India yang berjaya menjana keuntungan dengan padi tanpa mengharapkan bantuan luar.
“Baru baru ini, kita dengar berita bahawa belalang menyerang India sehingga India mengalami kerugian padi, belalang hanya baru menyerang padi-padi di India, namun kita di Malaysia sudah risau apa nak makan.
“Bermakna India telah menjadikan padinya sebagai sumber pendapatan dan kuasa kepada negaranya bangunkan syarikat tempatan, tak perlu orang luar masuk,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama Melaka dengan syarikat-syarikat dari China, Ustaz Zamani menyifatkannua sebagai satu tindakan yang merugikan untuk negara.
“Sepatutnya kerajaan memikirkan bagaimana langkah seterusnya untuk membina syarikat tempatan kita agar mampu membangunkan, memproses sumber nasional menjadi sumber negara dan kuasa negara,” kata beliau.
Baru-baru ini, media melaporkan bahawa Melaka bakal menerima pelaburan bernilai RM3.5 bilion menerusi tujuh projek yang akan dibangunkan di negeri itu dengan kerjasama Cheng Ho International Trade and Cultural City Centre Sdn Bhd dan syarikat pelabur dari China.
Pautan video ; https://vt.tiktok.com/ZSLNv1tTE/