Berita Utama

Kerjasama dengan Muhyiddin bantu Tun Mahathir kembali berkuasa?

Aura bekas Perdana Menteri masih terserlah, bantu naikkan momentum PN

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 14 Zulkaedah 1444H, Sabtu – Penyatuan semula Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin diyakini mampu mengukuhkan Perikatan Nasional (PN) dan menjadi wadah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.

Tun Mahathir sebelum ini berkata, beliau bersedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.

Kenyataan itu disambut Muhyiddin, apabila mengakui secara peribadi bersedia untuk bekerjasama dengan semua tokoh Melayu dan Islam termasuk pemimpin berusia 97 tahun itu – demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

Penganalisis Politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, aura yang ada pada bekas Ahli Parlimen Langkawi itu masih terserlah dan tidak mustahil dapat mengukuhkan semula momentum PN.

“Saya percaya kerjasama Tun Mahathir dan Muhyiddin akan memberikan kekuatan tambahan kepada PN terutama untuk berdepan PRN tidak lama lagi, biarpun mereka pernah berseteru sebelum ini.

“Kerjasama ini pastinya dapat mengukuhkan perjuangan orang Melayu selepas melihat tiada lagi parti lain dapat membela dan berjuang untuk orang Melayu.

“Mungkin juga kerjasama ini boleh menutup kelemahan-kelemahan yang wujud dalam PN terutama apabila ada pemimpin PN terpalit dalam kes mahkamah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mazlan berkata, tidak mustahil dengan kerjasama dua tokoh berkenaan dapat melumpuhkan pentadbiran negara – berikutan sokongan orang Melayu kini lebih tertumpu kepada PN selepas kecewa dengan kerjasama UMNO dan Pakatan Harapan (PH).

Situasi tersebut jelas Dr Mazlan akan menguntungkan PN sekali gus dijangka mampu merealisasikan impian Tun Mahathir untuk kembali berkuasa dalam membela nasib bangsa dan orang Melayu di negara ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button