Noh Omar umum hala tuju politik esok
Jadi tetamu khas bersama pemimpin PN dalam siri jelajah PN Selangor

BANGI, 14 Zulkaedah 1444H, Sabtu – Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar bakal mengumumkan hala tuju politiknya pada hari pertama siri jelajah Perikatan Nasional (PN) di peringkat negeri Selangor, esok.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Noh dijemput menjadi tetamu khas bersama beberapa pemimpin PN termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Kita tengok esok, antara pengumuman penting dilakukan dalam PN oleh bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor dalam siri pertama jelajah.
“Selepas ini, kita akan laksanakan jelajah di kesemua 22 Parlimen seluruh negeri,” katanya.
November tahun lalu, Noh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor selepas hilang kepercayaan dengan kepimpinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun pada 28 Jaanuari lalu, beliau dipecat daripada UMNO disebabkan pelanggaran disiplin mengikut Perlembagaan parti kerana kesalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).