Berita Utama

Puad persoal apa salahnya tegur Rafizi, takkan tak boleh kritik

Tembak kaki sendiri bila menteri tak 'perform', gagal buat benda luar biasa

BANGI, 14 Zulkaedah 1444H, Sabtu – Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini tampil mempertahankan tindakannya mengkritik prestasi Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan mengakui pelik apabila dituduh ‘tembak kaki sendiri’.

“Saya dituduh tembak kaki sendiri. Apakah meminta Rafizi mengemukakan formula yang realistik dan luar biasa dianggap tembak kaki sendiri?

“Tembak kaki sendiri ialah apabila menteri tidak ‘perform’, gagal buat benda luar biasa dan formulanya tidak boleh dipakai. Itu lemahkan kerajaan.

“Saya boleh dituduh tembak kaki sendiri bila takut bersuara dan kelemahan dibiarkan berleluasa. Sebab itu saya lain dari yang lain,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan bahawa tiada guna untuk menyerang satu sama lain dalam Kerajaan Perpaduan semata-mata mahu memuaskan hati sesetengah pihak.

“Tiada gunanya jika kita (kerajaan) saling menyerang antara satu sama lain. ‘Tembak kaki sendiri’ semata-mata untuk memuaskan hati sesetengah pihak,” kata Asyraf.

Menulis di akaun Facebook miliknya, Puad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu berkata, beliau bukan menghasut mana-mana pihak sebaliknya hanya menegur menteri dalam melaksanakan tugas.

Beliau juga berkata, tindakan menegur seorang menteri itu tidak menjadi suatu kesalahan bagi mengukuhkan kerajaan sedia ada.

“Apakah mendesak menteri supaya ‘perform’ dianggap tembak kaki sendiri? Apa salahnya Rafizi ditegur. Kalau dia luar biasa, Kerajaan Perpaduan tambah kukuh.

“Apa maksud tembak kaki sendiri. Tidak boleh dikritik? Tidak boleh ditegur? Tidak boleh beri pandangan? Tugas saya bukan menghasut. Saya tidak ambil pun tugas lama Rafizi,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi dilaporkan berkata, penyusutan nilai ringgit yang direkodkan sejak dua minggu ini turut membawa kebaikan kepada negara.

Beliau berkata, meskipun nilai ringgit jatuh, kerajaan belum bercadang untuk menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.

Bagaimanapun, Puad selepas itu mempersoalkan langkah signifikan diambil Rafizi untuk memulihkan ekonomi negara.

Katanya, Ahli Parlimen Pandan itu sekurang-kurangnya perlu memperkenalkan polisi baharu untuk meningkatkan ekonomi rakyat.

“Apakah Rafizi tiada persiapan untuk jadi menteri. Itu masalahnya bila banyak sangat formula sebelum jadi Menteri. Bila jadi menteri tidak boleh biasa biasa. Mesti luar biasa.

“Jangan nanti rakyat kata “Rafizi turun, ringgit naik”. Agaknya itu punca timbul cerita akan berlaku rombakan kabinet. Menteri kena luar biasa untuk pertahankan Kerajaan Perpaduan,” dakwa Puad.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button