Muhyiddin sedia kerjasama dengan Tun M mungkin sebab wang
Tun masih banyak duit, tengok bagaimana PN bersedekah masa PRN nanti

BANGI, 15 Zulkaedah 1444H, Ahad – Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi tidak hairan apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia untuk bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu tidak menolak kemungkinan tindakan Muhyiddin berkawan semula dengan bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu kerana faktor wang.
“Muhyiddin sedia bekerjasama lagi dengan Tun M walaupun dia tidak berparti. Tidak pelik pun.
“Muhyiddin berkawan semula dengan Tun M mungkin kerana faktor wang.
“Tun M masih banyak duit dan banyak sumber. Kita tengok bagaimana PN bersedekah masa pilihan raya negeri (PRN) nanti,” katanya.
Sebelum ini, Muhyiddin menyambut baik kesediaan Tun Mahathir untuk bekerjasama demi matlamat memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam di negara ini.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau sedar perkembangan politik mutakhir ini meletakkan umat Melayu dan Islam di negara ini di suatu persimpangan yang getir.
Justeru, beliau secara peribadi bersedia bekerjasama dengan semua tokoh Melayu-Islam, termasuk Dr Mahathir dalam memperjuangkan agama, bangsa serta negara.
Dalam pada itu, Puad mendakwa PN berbelanja mewah ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan PAS juga ‘tumpang semangkuk’.
Pun begitu, beliau mempersoalkan sama ada PN mampu menang pada enam PRN tanpa ‘sedekah mega’ susulan akaun Bersatu telah dibekukan.
“Sebab itu Muhyiddin kena ‘kowtow’ Tun Mahathir,” katanya.
Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2023/06/02/demi-nasib-melayu-muhyiddin-sambut-kerjasama-dengan-tun-m/