PAU2023: Tak wajib pun jemput wakil parti lain
Khaled beritahu undangan sudah dibuat di peringkat pusat

BANGI, 15 Zulkaedah 1444H, Ahad – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menganggap keputusan Pemuda UMNO tidak menjemput wakil parti lain dalam Kerajaan Perpaduan menghadiri persidangan pergerakan itu minggu hadapan bukan satu kesalahan.
Ini kerana bukan menjadi satu perkara wajib untuk menjemput pihak lain ke perhimpunan sayap kerana undangan mengenainya telahpun dibuat di peringkat pusat, kata Naib Presiden UMNO itu.
“Ia bukan satu kesalahan, tak jadi masalah. Bukannya wajib pun (jemput wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan hadir persidangan Pemuda UMNO) sebab perhimpunan agung peringkat UMNO Malaysia sudah jemput, jadi saya rasa tidak perlu,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pergerakan itu tidak menjemput wakil mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan hadir perhimpunan sayap berkenaan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.
Menurutnya, keputusan itu diambil secara sebulat suara menerusi undian oleh semua barisan EXCO dan Ketua Pemuda UMNO negeri.
Jelasnya, sesi persidangan sayap pemuda parti yang akan berlangsung minggu hadapan akan menjadi pentas bagi ahli pemuda untuk meluahkan perasaan yang terbuku di hati selain ia adalah ruang untuk pihaknya memberikan penjelasan.