Berita Utama

Pimpinan UMNO diingatkan tak gadai maruah demi jawatan

Harus ambil langkah berani bersama blok yang betul demi survival agama, bangsa

BANGI, 15 Zulkaedah 1444H, Ahad – Dewan Muslimat PAS Malaysia meminta pimpinan UMNO untuk kembali memegang prinsip perjuangan, selain mengangkat wibawa kepimpinan ke tempat yang tinggi.

Ketuanya, Nuraidah Mohd Salleh berkata, mereka tidak seharusnya menggadai maruah dan prinsip perjuangan semata-mata kerana jawatan yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan (PH).

“Pimpinan UMNO harus sedar biarpun memegang kuasa, tangan mereka diikat ketat oleh pimpinan parti lain di dalam Pakatan Harapan agar mengikut telunjuk mereka.

“Perkara ini semua dapat dilihat dengan jelas sepanjang mereka berada dalam Kerajaan perpaduan yang ada sekarang ini,” dakwanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Nuraidah menegaskan, sudah sampai masanya ahli UMNO tidak membiarkan nasib diri mereka ditentukan oleh pimpinan parti itu yang bermasalah.

Ini kerana dakwanya, pihak itu sedaya upaya berusaha untuk melepaskan tengkuk mereka sahaja.

“Cukuplah tempoh selama lebih enam bulan UMNO berkhemah di bawah jajaran khemah besar yang ternyata cantik di luar namun penuh kekotoran di dalamnya. Marilah bersatu di bawah payung kesatuan Islam dan Melayu yang mana kita meletakkan asas kesatuan demi perpaduan ummah.

“UMNO harus sedar dalam kemelut negara sekarang yang dilanda krisis ekonomi yang teruk di mana nilai ringgit semakin jatuh di mana kapitalis hanya berfikir mengaut untung, pimpinan UMNO harus meletakkan di tepi sentimen peribadi sebaliknya meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.

“UMNO harus mengambil langkah berani untuk bersama blok yang betul demi survival agama, bangsa dan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button