Berita Utama

Terpedaya kerja ‘like and share’, wanita rugi RM110,556

Mangsa tertipu menerusi pautan iklan di Telegram

KUANTAN, 15 Zulkaedah 1444H, Ahad – ┬áSeorang suri rumah mendakwa kerugian RM110,556 selepas diperdayakan sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan sambilan menerusi aplikasi media sosial.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, mangsa yang berusia 36 tahun mendakwa pautan iklan di Telegram pada 30 Mei lepas hanya memerlukan dia membuat tanda suka dan berkongsi video YouTube.

“Mangsa berkata ditawarkan komisen antara 15 ke 20 peratus bagi melakukan lapan tugasan namun dia perlu membuat bayaran terlebih dahulu bagi mendapatkan pautan ke video terlibat.

“Tertarik dengan jumlah komisen menyebabkan mangsa mengeluarkan wang simpanan serta meminjam daripada rakan-rakan untuk membayar suspek,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Yahaya berkata mangsa telah membuat 21 transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke lima akaun diberikan suspek sebelum menyedari dirinya ditipu dan telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

Yahaya menasihatkan orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran iklan di media sosial terutamanya yang menawarkan keuntungan tinggi dan pekerjaan mudah. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button