Berita Utama

UMNO Kedah bidas tindakan Sanusi berkonflik dengan Pusat, Pulau Pinang

Dakwa MB keruhkan keadaan, cetus kritikan berbaur politik

BANGI, 15 Zulkaedah 1444H, Ahad – Langkah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang memilih jalan untuk berkonflik dengan Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang dianggap strategi sumbang dan hanya merugikan Kedah.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mendakwa, jelas ketika ini sentimen kenegerian dan kebencian masih lagi menjadi sandaran Menteri Besar bankrap idea politik.

Tegasnya, Sanusi bukan satu-satunya yang memperjuangkan pampasan untuk kerajaan negeri.

“Usaha memperjuangkan pampasan untuk pemeliharaan hutan yang menjadi kawasan tadahan air bukanlah perkara baru di negeri Kedah. Hari ini Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah yang juga mantan Menteri Besar ‘has broke his silence’.

“Malah banyak rundingan dan permohonan dibuat sejak zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) seawal pentadbiran Allahyarham Datuk Seri Syed Razak Syed Zain pada 2003 dahulu, kira-kira 20 tahun dahulu.

“Malah Allahyarham juga memberi isyarat sekiranya tidak ada apa-apa yang diberikan kepada kerajaan negeri Kedah, beliau akan mempertingkatkan aktiviti pembalakan dengan lebih giat menggunakan kaedah ‘heli harvesting’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak itu katanya, rundingan bagi perkara berkenaan terus diketengahkan oleh semua Menteri Besar Kedah daripada BN seperti Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

“Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Razak juga pernah menuntut pampasan RM100 juta berkenaan isu ini. Namun menariknya, jumlah tersebut ditolak mentah-mentah oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, dengan telah menyifatkan jumlah RM100 juta sebagai tidak logik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isunya dalam tuntutan ini ialah bukan Kedah sahaja semata-mata yang perlu menjaga hutan bagi tujuan pemeliharaan kawasan tadahan hujan, mahupun bagi tujuan penanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Bahkan negeri-negeri lain seperti Pahang dan Perak juga perlu menjaga kawasan hutan masing-masing bagi tujuan pemeliharaan kawasan tadahan hujan dan konservasi taman negara.

“Maksudnya, bukan hanya Kedah sahaja yang perlu berkorban memelihara kawasan hutan dan Sanusi bukanlah Menteri Besar Kedah yang pertama yang memperkatakan mengenai isu tersebut.

“Lebih buruk lagi, pendekatan yang digunakan Sanusi itu dilihat hanya mengeruhkan keadaan, mencetus kritikan berbaur politik, menimbulkan sentimen kebencian, malah tindakan beliau yang seolah enggan mengiktiraf negeri Pulau Pinang turut dibidas oleh dua rakan sekutunya, Bersatu dan Gerakan,” katanya.

Justeru, pada pandangan beliau, dalam usaha negeri Kedah untuk mengadakan rundingan mengenai perkara ini, ianya perlu dibuat secara berhemah, bijaksana dan lebih berdiplomasi supaya keputusan yang dibuat memberi manfaat kepada semua pihak.

“Secara realistiknya hanya kerajaan negeri yang mempunyai pasukan yang sama dengan kerajaan Pusat ataupun setidak-tidaknya walaupun berlainan pasukan diplomasi, adab dan profesionalisme adalah taruhan utama,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button