Berita Utama

Elaun latihan industri: Adakah wujud kartel halang kerajaan selesaikan isu?

Mahasiswa terus terhimpit, cadang buat penyelarasan untuk semua IPTA/IPTS

BANGI, 16 Zulkaedah 1444H, Isnin – Parti BERJASA mempersoal langkah kerajaan yang seolah-olah mengambil masa begitu lama untuk menyelesaikan isu pelajar tidak mendapat bayaran ketika menjalani latihan industri (LI) daripada pihak majikan.

Ketua Pemudanya, Isma Aiman mengakui kesal kerana isu itu masih berlarutan dan terus menghimpit mahasiswa sejak dahulu lagi.

Beliau berkata, agak hairan isu ini gagal diselesaikan oleh mana-mana kerajaan tidak kira kerajaan yang lama ataupun baharu.

Sepatutnya, mana-mana parti yang telah menjawat sebagai pentadbir negara sepatutnya memahami isu ini dengan lebih terperinci.

“Kerajaan sekarang setelah dibangkitkan isu mahasiswa yang menjalani latihan industri tidak mendapat elaun, baru membuat laporan setelah dimaklumkan oleh Kementerian Sumber Manusia.

“Persoalannya mengapa isu ini mengambil masa yang lama untuk diselesaikan sedangkan masalah ini sudah lama berlaku walaupun bersilih ganti kerajaan yang mentadbir?

“Adakah wujudnya kartel daripada pihak industri yang menghalang kerajaan untuk menyelesaikan isu ini daripada awal lagi?,” soalnya.

Isma berpandangan, kerajaan tidak sepatutnya tunduk kepada desakan daripada pihak industri dan majikan yang menghalang kerajaan menyelesaikan isu tersebut kerana mahu menggunakan tenaga buruh murah.

“Berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya mengenai golongan industri dan majikan ini, mereka sebolehnya menginginkan mahasiswa untuk menjalani latihan di syarikat mereka sehingga sanggup lakukan kerjasama dengan pihak institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.

“Mereka lihat ini satu peluang untuk syarikat mereka menjimatkan kos operasi dan kos upah dengan mengerah pelajar-pelajar sehingga di luar waktu kerja untuk melakukan tugasan tanpa bayaran,” katanya.

Isma menyarankan agar kerajaan terus mengambil tindakan yang pantas untuk menyelesaikan isu ini daripada menjadi lebih parah.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melakukan penyelarasan untuk semua IPTA/IPTS dengan memberikan elaun kepada mahasiswa.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai keluhan dan aduan daripada mahasiswa mengenai tekanan yang dihadapi mereka apabila diberikan bebanan tugas yang banyak tanpa bayaran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button