Berita UtamaDunia

Hampir 80 pelajar perempuan Afghanistan diracun

Dipercayai perbuatan dendam, arah pihak ketiga lakukan

KABUL, 16 Zulkaedah 1444H, Isnin – Hampir 80 pelajar perempuan di Afghanistan dilaporkan mengalami keracunan dan dikejarkan ke hospital dalam dua kejadian berasingan di sekolah rendah, utara negara itu, semalam.

Pegawai Pendidikan Wilayah mendakwa, tindakan berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan perbuatan dendam.

Dilaporkan, terdapat individul yang tidak dikenali memasuki sekolah perempuan dan meracuni kelas berkenaan.

Ketua Jabatan Pendidikan wilayah Sangcharak, Mohammad Rahmani berkata, hampir 80 pelajar perempuan diracun – membabitkan 60 pelajar dari Sekolah Naswan-e-Kabod Aab manakala 17 lagi di Sekolah Naswan-e-Faizabad.

“Kedua sekolah berkenaan adalah berhampiran dan kedua-duanya disasarkan dalam kejadian ini,” katanya.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, semua pelajar kini dalam keadaan stabil dan akan dibenarkan keluar hospital tidak lama lagi.

Siasatan awal mendapati ada pihak berdendam dan cuba mengupah pihak ketiga untuk melakukan serangan berkenaan.

Sebelum ini, Iran berdepan situasi sama apabila kira-kira 13,000 pelajar sekolah perempuan di negara itu berdepan kes keracunan sejak November tahun lalu.

Ribuan pelajar mengalami rasa mual dan pening selepas terhidup asap menyebabkan mereka pengsan dan terpaksa dikejarkan ke hospital. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button