Isu Kesultanan Sulu: Kerajaan jamin ambil tindakan tegas
Dakwaan Malaysia gagal patuh Final Award keterlaluan

BANGI, 16 Zulkaedah 1444H, Isnin – Tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang menyediakan bahan sokongan sama ada secara langsung atau tidak kepada waris Kesultanan Sulu.
Sekretariat Khas Sulu dalam kenyataan memaklumkan, negara akan terus mengambil langkah proaktif selain melibatkan semua pihak berkepentingan dalam usaha mempertahan kesucian timbang tara di peringkat antarabangsa.
“Negara akan mempertahankan dan memberikan sokongan penuh kepada pegawai kerajaan yang akan melaksanakan tugas dalam tuntutan ini termasuk peguam Negara bagi menjaga kedaulatan Sabah.
“Ini menyangkal percubaan mana-mana pihak yang mencabar kesahihan Sabah sebagai sebahagian dari Malaysia seperti telah ditentukan oleh Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962 dan Perjanjian Malaysia 1963,”katanya.
Peguam Negara pada 29 Mei lalu menerima surat daripada Peguam bela mewakili waris Sultan Sulu Paul Cohen, menuntut pembayaran segera Final Award berjumlah AS$16.412 bilion (termasuk 10 peratus faedah), AS$4,026,592.64 kos timbang tara dan AS$3,502,394.24 undang-undang bayaran peguam.
Dalam pada itu Sekretariat Khas Sulu menyifatkan dakwaan Dr Gonzalo Stampa yang menyatakan Malaysia gagal untuk mematuhi Final Award sebagai keterlaluan.
Tegas Sektretariat, dakwaan berkenaan yang dibuat dalam surat langsung jelas tidak menjelaskan kedudukan undang-undang negara dan secara tidak tepat memfitnah kerajaan ini.
Justeru, kerajaan Malaysia menafikan semua dakwaan dan sindiran yang dibuat dalam surat yang dihantar oleh Paul J Cohen kerana ia tidak bencirikan kedudukan undang-undang negara ini.
Malah, Peguam Negara telah menyenaraikan semua fakta tuntutan yang tidak dapat dipertikaikan oleh mereka.