PN putuskan agihan kerusi PRN hari ini
Sasar anak tempatan pimpin negeri, faham sosioekonomi dan politik rakyat setempat

BANGI, 16 Zulkaedah 1444H, Isnin – Perikatan Nasional (PN) akan memuktamadkan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Perbincangan mengenai pembahagian semua kerusi dijangka selesai petang ini, kata Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Pembahagian kerusi bagi PN adalah peringkat akhir dan perbincangan dijalankan di ibu pejabat PN di Publika, Kuala Lumpur,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Terdahulu, Muhammad Sanusi hadir dalam siri Jelajah Selangor Baharu di Kompleks PAS Tanjong Karang.
Dalam ucapannya di hadapan ribuan penyokong PN, beliau menyeru supaya Selangor dipimpin oleh anak tempatan atau jati negeri sendiri.
Katanya, Selangor perlu dipimpin oleh anak tempatan atau jati negeri ini.
Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada pimpinan parti peringkat negeri untuk menentukan pendekatan dan strategi politik bagi menawan Selangor.
“Kepimpinan anak negeri yang membesar dan mencari makan di tempat sendiri lebih memahami sosioekonomi dan sosiopolitik rakyat setempat, jadi Selangor perlu dipimpin anak Selangor sendiri.
“Tanggungjawab kita memastikan calon yang kebanyakannya diwakili anak negeri menang pada PRN akan datang,” katanya.