Sweden penuhi ‘kewajipan’ jadi anggota NATO
Turkiye digesa gugur bantahan terhadap Sweden selepas tandatangani perjanjian

ANKARA, 16 Zulkaedah 1444H, Isnin – Turkiye digesa menggugurkan bantahan terhadap Sweden berhubung penyertaan negara itu dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), selepas negara Nordik menangani kebimbangan keselamatan terhadap Ankara.
Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg berkata, Sweden telah mengambil langkah konkrit ketara bagi memenuhi kebimbangan Turkiye.
Sweden juga menunaikan janjinya dengan memperkenalkan Akta anti keganasan yang baharu dalam mengawal kegiatan pengganas,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Stoltenberg turut menghadiri majlis pelantikan Erdogan sebagai Presiden baharu selama lima tahun yang disertai puluhan pemimpin dunia di Ankara, semalam.
Sehingga kini hanya Turkiye dan Hungary yang tidak meratifikasi penyertaan negara Nordik itu menjadi anggota pakatan tentera berkenaan.
April lalu, Finland secara rasmi menyertai pakatan tentera tersebut.
Erdogan sebelum ini menuduh Sweden melindungi pengganas terutama anggota parti Pekerja Kurdish, sebuah kumpulan yang disenarai hitam oleh Turkiye dan sekutu Baratnya. – Agensi