Amirudin pelik pembangkang bersungguh bantah LKAN dibahas
'Biasanya kaji, semak laporan audit dan bangkit dalam perbahasan'

BANGI, 17 Zulkaedah 1444H, Selasa – Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari hairan dengan tindakan blok pembangkang yang mempersoalkan langkah kerajaan membawa usul supaya Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 dibahaskan di Dewan Rakyat.
Menerusi akaun Twitter miliknya, Menteri Besar Selangor itu berkata, lazimnya pembangkang akan mengkaji dan menyemak kira laporan audit negara serta membangkitkannya dalam perbahasan.
“Hari ini pembangkang sangat bantah laporan audit dibahas.
“Mereka mahu sokong usul tapi jangan bahas. Panjang berjela-jela mengelak dibahas. Kenapa?” soalnya.
Terdahulu, persidangan sesi pagi di Dewan Rakyat kecoh apabila pihak kerajaan dan pembangkang bertikam lidah mengenai kewajaran usul kerajaan membahaskan LKAN 2021 yang terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul.
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa, tindakan itu bercanggah dengan Perkara 107 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya lagi, Dewan Rakyat terdahulu tidak pernah membahaskan LKAN, selain mendakwa ia perlu menjadi peraturan dan undang-undang tidak bertulis untuk tidak membenarkan dokumen berkenaan dibahaskan.