Berita Utama

Isu air Kelantan: Anwar patut lulus dana tanpa syarat bukti ‘bapa reformasi’

RM8 bilion tak cukup pun, masalah belenggu rakyat sudah puluhan tahun

BANGI, 17 Zulkaedah 1444H, Selasa – Tindakan Kerajaan Pusat yang tidak bersetuju permintaan Kelantan memohon dana RM8 bilion bagi menyelesaikan masalah bekalan air menampakkan ada ‘permainan politik yang menindas’. 

Bagi parti BERJASA, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar menolak permohonan Kelantan kerana isu kemelut air membabitkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Ketua Pemudanya, Fahmi Bazlan berkata, kerajaan sebenarnya jelas bahawa Kelantan hanya memerlukan kawasan menyimpan atau menampung bekalan air yang banyak kerana sumber air di negeri sudah mencukupi sehingga melebihi keperluan untuk kepenggunaan.

“Kelantan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada sumber air semula jadi dan memerlukan eksploitasi sumber air dengan melakukan rawatan air yang telah digunakan.

“Kekurangan yang berlaku adalah loji dan pusat rawatan tidak mampu untuk menampung permintaan dan kapasiti yang ada sehingga berlaku kegagalan merawat dan menjadi punca kepada air kuning hitam dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, permohonan awal Kelantan untuk RM8 bilion bagi menyelesaikan isu air negeri itu ditolak kerana kerajaan perlu meneliti secara tepat keperluannya.

Menurut Anwar, ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum perbelanjaan itu dibenarkan, dan tidak menolak kemungkinan jumlah yang dimohon akan diturun sekiranya diluluskan.

Mengulas perkara itu, Fahmi berkata, Anwar sepatutnya berjiwa besar untuk memberikan kelulusan tanpa syarat kepada Kelantan sebagai bukti beliau selama ini menggunakan isu diskriminasi UMNO-Barisan Nasional (BN) menindas negeri itu sehingga digelar ‘bapa reformasi’.

“Dalam banyak ucapan ketika bersama PAS dalam Pakatan Rakyat, beliau adalah pejuang keadilan dan berjanji membantu Kelantan, memberikan keadilan dengan menyalurkan dana dan memastikan hak royalti kembali dinikmati oleh rakyat Kelantan tetapi hari apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Dengan projek-projek yang banyak sedang berjalan dan pelbagai infrastruktur yang perlu dibangunkan untuk isu air di Kelantan selesai, RM8 bilion itu sebenarnya tidak cukup kerana masalah bekalan air yang membelenggu rakyat negeri ini telah berlaku sejak puluhan tahun lagi,” katanya.

Beliau berkata, isu air Kelantan sudah lama berlarutan kerana campur tangan politik yang ketara berlaku di kedua-dua belah pihak.

“Tidak mustahil yang menjadi punca kepada kemelut ini adalah masing-masing mempunyai kepentingan dan gagal dalam toleransi mengutamakan keperluan rakyat Kelantan, berbanding berebut-rebut untuk keuntungan dan kekayaan peribadi baik di peringkat kerajaan negeri atau Persekutuan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button