Berita Utama

Labelkan dakwaan Sanusi sebagai jenayah keterlaluan: Tun M

Akui pernah minta Guan Eng bayar lebih RM10,000 kepada Kedah

BANGI, 17 Zulkaedah 1444H, Selasa – Meskipun enggan terbabit dalam kontroversi berkaitan Pulau Pinang, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan cadangan mengenakan tindakan jenayah terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan negeri itu milik Kedah keterlaluan.

Menyingkap sejarah perjanjian antara Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) dengan Kedah, bekas Perdana Menteri itu berkata, Sultan Kedah bersetuju untuk SHTI mengambil alih pulau itu dengan bayaran 6,000 dolar Sepanyol setahun.

Kemudian gagasan tanah besar yang bertentangan telah ditambah untuk 4,000 dolar Sepanyol, setahun.

“Selain itu, perjanjian tersebut memerlukan syarikat British membantu dalam mempertahankan Kedah sekiranya diserang oleh negara asing. Kita tahu bahawa British gagal untuk menghormati janji mereka.

“Perjanjian penyerahan Singapura pula adalah berbeza. Ia jelas merupakan jualan secara terus. British membuat bayaran sekali sahaja sebanyak 60,000 dolar Sepanyol kepada Temenggong.

“Perlu diingat bahawa Sultan Ali, Sultan pada masa itu tidak menandatangani. Beliau dianugerahkan sebuah rumah di Kampung Gelam di Singapura. Kemurahan hati ini tidak membantu mendapat pengiktirafan British terhadap Ali sebagai Sultan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, jelas dapat dilihat perbezaan antara perjanjian Pulau Pinang dan perjanjian Singapura.

Bagaimanapun beliau tidak meminta sesiapa untuk mempercayai apa dikatakannya, namun cerita itu boleh diambil walaupun sedikit.

“Saya tidak akan berkata apa-apa tentang apa yang berlaku kepada dua wilayah Tanah Melayu ini kecuali mengakui bahawa saya memujuk Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan ketika itu untuk memberi lebih RM10,000 kepada Kedah setiap tahun,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button