Berita Utama

Serang PM, cetus isu ‘taktik’ Sanusi alih isu air Kedah

Saifuddin dakwa kenal langkah politik MB Kedah ketika dalam Pakatan Rakyat

BANGI, 17 Zulkaedah 1444H, Selasa – Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution mendakwa isu yang dicetuskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sejak akhir-akhir ini, bertujuan untuk mengalihkan kemelut isu air di negerinya.

Menteri Dalam Negeri itu mendakwa, dakwaan Pulau Pinang milik Kedah dan kritikan terbaharu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak bercakap hal kemiskinan rakyat, hanyalah cara Sanusi mengalihkan kemarahan meluas rakyat Kedah ketika ini.

“Sanusi ini sahabat masa kami sama-sama dalam Pakatan Rakyat. Beliau supol Almarhum Ustaz Azizan Razak MB Kedah tika itu. Kami saling mengenali langkah politik masing-masing.

“Isu Pulau Pinang milik Kedah dan serang PM berterusan tujuannya cuma satu. Rakyat Kedah dok marah pasai isu air. Kemarahan meluas. Apa lagi cara Sanusi untuk kalih kemarahan ini ?,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mendakwa Anwar tidak layak bercakap hal kemiskinan kerana Perdana Menteri itu datang dari keluarga UMNO dan belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Menurut Saifuddin, beliau tidak mahu mengulas isu itu secara mendalam kerana beranggapan bahawa rakyat Malaysia tidak begitu naif untuk menerima hujah Muhammad Sanusi.

“Mari kita renung fakta ini, kali pertama masuk ISA sebab perjuangan isu kemiskinan Baling. Tamat belajar di UM terus buka Yayasan Anda di Kampung Kerinchi, KL.

“Sekolah ini beri peluang kedua kepada pelajar-pelajar yang rata-rata dari keluarga miskin. Minggu pertama menjawat PM, terus umum bantuan tunai kepada penanam padi yang umum tahu sangat dekat dengan kemiskinan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button