Berita Utama

‘Silakan guna gelaran Tan Sri, tapi henti cakap agenda DAP’

Apa jasa? Kit Siang hanya haru-birukan negara dengan Malaysian Malaysia

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 17 Zulkaedah 1444H, Selasa – Lim Kit Siang sepatutnya berasa malu apabila dianugerahkan gelaran ‘Tan Sri’, memandangkan tiada jasa yang disumbangkan veteran DAP itu kepada Malaysia, selain mengkucar-kacirkan keharmonian negara.

Atas sebab itu, Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim tertanya-tanya jasa disumbangkan Kit Siang sehingga layak mendapat gelaran itu sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kelmarin.

Beliau menegaskan, Kit Siang bukanlah figura yang mempunyai jasa sebagaimana tokoh lain dalam membangunkan negara.

“Jasanya hanya kepada DAP sahaja. Kepada negara dia banyak mengharu-birukan negara dengan agenda dia yang siang malam, pagi petang, setiap inci di mana berada di negara ini hanya memperkatakan agenda DAP.

“Lim Kit Siang ini, itulah kerja dia sebenarnya tanpa anugerah Tan Sri pun beliau sudah berada di tahap cukup baik di negara kita kerana dia tetap mendapat pencen sebagai wakil rakyat, apalah jasa dia kepada negara kita,” katanya dalam video yang dimuatnaik di Facebooknya, hari ini.

Menurut Zamani, sehingga kini tiada sebarang usaha yang dilakukan Kit Siang diingati mana-mana pihak, melainkan rancangan mengubah negara berteraskan ‘Malaysian Malaysia’.

“Sebab secara jelas Malaysian Malaysia ini suatu gerakan agenda DAP yang boleh merosakkan negara kita yang boleh mengkucar-kacirkan dan menghilangkan keharmonian negara kita.

“Ianya sangat bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan negara kita,” katanya.

Beliau menegaskan, sekiranya Kit Siang masih mahu terus ‘berbangga’ dan menggunakan gelaran itu, dia juga perlu berhenti daripada bercakap mengenai agenda DAP untuk menjadikan negara berteraskan ‘Malaysian Malaysia’.

“Bahkan Kit Siang juga mesti mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan dan Malaysia ini negara Islam.

“Silakan pakai gelaran Tan Sri itu kerana ianya anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong kepada anda, (tetapi) anda perlu berhenti daripada memperkatakan agenda DAP, hentikan!,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button