Sultan Selangor titah selesaikan segera polemik agama demi perpaduan
Semua pihak mesti hormat kedudukan Islam agama Persekutuan

BANGI, 17 Zulkaedah 1444H, Selasa – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu semua pihak sewajarnya mengambil pendekatan bijak, tertib dan semangat toleransi tinggi dalam mendepani isu agama, termasuk penggunaan kalimah Allah.
Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, baginda bertitah, apa jua polemik agama hendaklah diselesaikan segera demi perpaduan dan masa hadapan negara.
Justeru, baginda menyeru supaya semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat terus disemai serta dididik di semua peringkat bersama nilai-nilai murni hidup bermasyarakat bagi mengekalkan keharmonian.
“Titah baginda Sultan lagi, ke arah membina sebuah negara yang maju jaya, berwibawa dan bermaruah, semua rakyat dan ahli politik hendaklah membuang sebarang agenda retorik yang boleh membawa kepada perpecahan.
“Tanpa perpecahan, Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar untuk menjadi sebuah negara yang maju dan disegani,” kata kenyataan.
Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin turut menyokong dan senada dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam, yang mengingatkan seluruh rakyat negara ini supaya tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik.
“Baginda mahu semua pihak menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan sepertimana yang dinyatakan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, di mana semua rakyat juga perlu menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam.
“Sama seperti Yang di-Pertuan Agong, baginda Sultan turut menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah Allah yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara,” kata kenyataan itu.