Berita Utama

Tubuh parti baharu hanya rugikan Melayu, untungkan musuh

Pecahkan sokongan, lebih baik ikut rakan bekas UMNO sertai PN

BANGI, 17 Zulkaedah 1444H, Selasa – Penubuhan parti baharu meskipun atas alasan Melayu-Islam hanya merugikan orang Melayu kerana langkah itu lebih cenderung menguntungkan musuh politik, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Terdahulu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilapor mempertimbangkan untuk menubuhkan parti baharu disebabkan pasaran politik yang agak tepu.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, sejak beberapa minggu ini beliau melihat ada kebarangkalian untuk membuka parti lain.

“Saya lihat jika kita dapat permulaan kedua dalam politik, kenapa tidak permulaan itu ‘on our own terms’ (mengikut syarat kita sendiri),” kata Khairy.

Walaupun perkara itu belum pasti, Tuan Ibrahim berkata, PAS melihat tiada keperluan untuk mewujudkan parti baharu kerana ia hanya akan memecahkan sokongan.

“Adalah lebih baik, rakan-rakan bekas UMNO menyertai PN sama ada menjadi terus ahli PN atau menyertai mana-mana parti komponen dalam PN.

“Ini kerana, kewujudan banyak parti Melayu hanya akan merugikan kita dan menggembirakan musuh politik,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

KJ sebelum ini dipecat daripada UMNO atas dakwaan melakukan sabotaj parti pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Ia susulan ucapannya yang menyatakan ‘parti itu sudah sesat dan mahu membersihkannya’ ketika berkempen pada PRU15

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button