Berita Utama

Tun M akan jumpa Muhyiddin

Presiden Bersatu beri sokongan Proklamasi Orang Melayu

KUALA LUMPUR, 17 Zulkaedah 1444H, Selasa – Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lama lagi.

Pertemuan rasmi akan diadakan selepas Presiden Bersatu itu tidak hadir pada Sidang Meja Bulat Majlis Presiden Proklamasi Orang Melayu (POM) hari ini.

Meskipun tidak hadir, Dr Mahathir menegaskan bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu sudah menyatakan sokongan untuk menyokong POM.

“Saya akan ada pertemuan tapi dia (Muhyiddin) dah menyatakan pendirian dia. Dia sokong proklamasi dan dia tidak menentang saya.

“Saya pun tak menentang dia. Ini semua public knowledge,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu, di sini hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Ketika ditanya sama ada kerjasama ini untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), Dr Mahathir berkata, kemungkinan itu ada.

“Ada kemungkinan kita akan bertanding dalam PRN. Kalau kita dapati itu kehendak kesemua daripada kita,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu juga menegaskan beliau tidak akan bertanding dalam PRN.

“Tak adalah, saya dah tua, nak tengok saya nyanyuk ke?

“Saya tak faham, orang di luar negeri jemput saya bercakap berkenaan macam mana dunia akan datang.

“Jepun panggil, Korea Selatan panggil. Balik sini orang tanya saya bila saya nak bersara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button