Berita Utama

Cuaca panas: KKM rekod lima kes strok haba

Hadkan tempoh berada di kawasan panas terik, kurangkan aktiviti lasak

BANGI, 17 Zulkaedah 1444H, Rabu – Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 34 kes berkaitan cuaca panas yang diterima di seluruh negara dari Minggu Epidemiologi ke-16 (ME16/2023) hingga ME21/2023.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah itu, 20 kes dikesan membabitkan kelesuan haba, sembilan kes kejang haba dan lima kes strok haba.

Beliau berkata, tiada kes kematian baru akibat strok haba dilaporkan pada ME21/2023, menjadikan bilangan kumulatif kematian kekal sebanyak satu sahaja iaitu yang dilaporkan pada 25 April lalu.

Manakala, semua kes lain adalah stabil dan telah discaj, katanya.

“Bilangan kes berkaitan cuaca panas mengikut negeri adalah 10 kes di Kelantan, tujuh kes di Sarawak, tujuh kes di Sabah, dua kes di Kedah, empat kes di Melaka dan masing-masing satu di Pahang, Terengganu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Perak.

“Manakala, pecahan kes mengikut umur adalah 21 kes dewasa, lapan kes remaja, tiga kes kanak-kanak dan dua kes warga emas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya menghadkan tempoh berada di kawasan panas terik dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak ketika cuaca panas.

“Orang ramai juga digalakkan untuk kerap minum air bagi memastikan hidrasi badan mencukupi.

“Sekiranya mengalami gejala penyakit berkaitan cuaca panas, dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berdekatan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button