Berita Utama

Gesa siasat isu Tanah Rizab Melayu di Sitiawan

Lapor SPRM dakwaan pertukaran tanah rizab kepada bukan Melayu

BANGI, 18 Zulkaedah 1444H, Rabu – Pembangkang Perak menggesa kerajaan negeri memberi pencerahan berhubung isu pengurusan tanah Rizab Melayu di negeri itu.

Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria berkata, isu itu perlu dibahas terperinc berikutan terdapat dakwaan berlaku pelanggaran peruntukan yang menyebabkan pertukaran tanah rizab Melayu kepada bukan Melayu di Sitiawan.

“Besarlah harapan saya dan rakan-rakan supaya siasatan ini dapat meleraikan kegusaran rakyat negeri ini khususnya orang Melayu sebagai kaum majoriti.

“Kita menggesa kerajaan negeri memandang serius isu ini dan perlu pencerahan kepada rakyat supaya imej kerajaan yang memerintah dilihat bersih,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Mengulas lanjut, Razman menegaskan, tindakan itu dibuat bagi memastikan hak Perlembagaan yang termaktub dalam Kanun Tanah Negara dan Enakmen Rizab Tanah Melayu dipelihara, seperti kewajipan bagi mewujudkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah rizab Melayu.

Terdahulu, Razman membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pengurusan tanah rizab Melayu.

Ia membabitkan 1,600 ekar tanah rizab Melayu yang dipercayai dipecah kepada 317 lot dan dijual kepada bukan Melayu dengan harga RM412, 800 bagi satu lot di Sitiawan.

Hadir sama ketika membuat laporan adalah Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Perak, Rosli Abd Rahman dan Ketua Dewan Muslimat Pas Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad.

Katanya, laporan yang dibuat merupakan rentetan daripada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini, pihak Perikatan Nasional (PN) telah membawa satu usul.

“Namun usul tersebut telah ditolak oleh Speaker dan jawapan secara umum diberi YAB Menteri Besar ketika menjawab soalan YB Trong, mengenai pindahan tanah berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Perak akan membawa isu pemilikan tanah rizab Melayu oleh syarikat bukan Melayu melalui penjualan syer saham syarikat Melayu sebagaimana berlaku di Sitiawan, kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diambil perhatian dan tindakan sewajarnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan para pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, berkenaan hal tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button