Puad Zarkashi dakwa ‘kluster gantung, pecat’ mahu ranapkan UMNO
'Makin lantang hentam parti supaya politik mereka terus hidup'

BANGI, 17 Zulkaedah 1444H, Selasa – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa ‘kluster gantung dan pecat’ tidak berani tubuh parti baru, namun semakin lantang menghentam UMNO.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau mendakwa, pihak itu mahu meranapkan UMNO agar politik mereka boleh terus hidup.
“UMNO ada kluster gantung dan pecat. Mereka makin lantang menghentam UMNO. KJ (Khairy Jamaluddin) kata UMNO bungkus di PRN (Pilihan Raya Negeri) nanti. 50 peratus ahli UMNO akan lari.
“Kluster ini tidak berani tubuh parti baru. Mereka tumpang rumah orang lain. Annuar Musa pilih PAS. Mereka ini mahu ranapkan UMNO. Bolehlah politik mereka terus hidup,” dakwanya.
Puad turut mendakwa ada juga golongan itu yang memilih untuk tidak menyertai mana-mana parti sebaliknya berharap UMNO tewas PRN nanti.
“Ada yang tidak mahu menumpang. Mereka hanya mahu UMNO kalah teruk enam PRN.
“Negeri ini bukan milik UMNO. Mereka hanya mahu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi lemah. Senang mereka masuk balik dan menguasai UMNO,” dakwanya.
Sebelum ini, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa parti itu akan ‘bungkus’ pada PRN di enam negeri akan datang.
Perkara itu dilontarkan Khairy menerusi ruangan komen di Instagram milik bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.