Bak kut teh: MP Tebrau kurang ajar, cadangan ‘halus’ hakis imej Islam
Apakah YB Jimmy mahu angkat sesuatu yang haram sebagai sebahagian identiti rasmi negara?

BANGI, 19 Zulkadah 1444H, Khamis – Cadangan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse supaya hidangan bak kut teh diangkat sebagai makanan kebangsaan dilihat sebagai kurang ajar.
Lebih mengecewakan, pandangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu menampakkan betapa dia tidak sensitif terhadap masyarakat umum dan rakyat majoriti yang beragama Islam.
Jurucakap Gagasan Bangsa, Haji Aminuddin Yahaya berkata, bagi sesetengah orang, kenyataan itu kelihatan seperti cadangan bodoh yang bersahaja secara ‘permukaannya’.
Bagaimanapun, apabila diteliti lebih mendalam, sebenarnya ianya kurang ajar.
“Dengan mengisytiharkan sesuatu itu sebagai ‘perkara ikonik’ kebangsaan di peringkat antarabangsa, maka ianya adalah pendirian bahawa ‘inilah identiti rasmi negara’ – termasuklah makanan.
“Apakah sebenarnya YB Jimmy mahu mengangkat sesuatu yang haram seperti babi sebagai sebahagian dari identiti rasmi negara Islam (Malaysia)?,” soalnya.
Pada masa sama, Aminuddin mempersoalkan sama ada tindakan itu usaha halus untuk menghina negara yang akhirnya menghakis imej dan kedudukannya sebagai sebuah negara Islam yang sohor.
“Saya tidak boleh bayangkan jika ini menjadi kenyataan. Mana kita nak letak muka di hadapan saudara-saudari kita dari negara-negara Islam? Pastinya akan menjadi bahan jenaka yang menghinakan.
“Apakah jika ini jadi kenyataan, akan ada banyak lagi yang haram akan menjadi ikon kebangsaan?
“Arak tempatan mana pula yang boleh dinobat sebagai minuman kebangsaan?
Judi apakah yang boleh dinobat sebagai permainan kebangsaan?,” soalnya.
Terdahulu, sesi Dewan Rakyat turut bertukar riuh ekoran isu bak kut teh menjadi tumpuan, apabila Ahli Parlimen pembangkang dari Langkawi mempersoalkan kewajaran hidangan itu diangkat sebagai makanan kebangsaan.
Ia susulan soalan dikemukakan Jimmy yang meminta kerajaan menyatakan usaha untuk memastikan makanan tradisi rakyat Malaysia seperti nasi lemak, bak kut teh dan laksa diangkat martabatnya sebagai makanan kebangsaan dan tidak dituntut sebagai makanan kebangsaan negara lain.
Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) memaklumkan bahawa dalam 10 makanan tradisional paling popular di Malaysia tiada bak kut teh.
Malah katanya, 30 makanan tradisional pelbagai kaum di negara ini juga tidak mempunyai makanan jenis itu.
Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2023/06/07/bak-kut-teh-benarlah-dasar-malaysian-malaysia-cuba-dilaksana/