Dakwaan Sanusi berfakta, tak gugat ketenteraman seperti isu Kalimah Allah
Siasatan ke atas MB Kedah adalah satu lagi episod hitam dalam sejarah demokrasi

BANGI, 19 Zulkadah 1444H, Khamis – Tindakan undang-undang ke atas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor seakan-akan menunjukkan ‘ketakutan’ Kerajaan Madani terhadap dakwaan Menteri Besar Kedah itu.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, siasatan yang dibuat adalah satu lagi episod hitam dalam sejarah demokrasi negara, apatah lagi ketika kerajaan PH-UMNO melaungkan kononnya kebebasan bersuara.
Walhal katanya, isu sejarah pemilikan Pulau Pinang yang dikatakan Muhammad Sanusi sebagai milik Kedah mengikut fakta sejarah.
“MB Kedah hanya berkata berdasarkan fakta sejarah iaitu apabila ada pihak membayar pajakan tanah kepada pihak lain, amat jelas menggambarkan tanah tersebut seperti bukanlah dimiliki pembayar itu.
“Kenyataan ini juga dijelaskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairil bagaimanapun tidak menafikan siasatan yang dijalankan polis adalah hak pihak berkuasa dan prosedur biasa.
Pun begitu, pihaknya melahirkan rasa kesal dengan tindakan ini kerana Menteri Besar Kedah hanya menyatakan fakta sejarah dalam pengetahuan beliau dan tidak menggugat ketenteraman seperti isu kalimah Allah.
“Kami berharap pihak berkuasa telus dalam siasatan dan melihat segala aspek termasuk fakta sejarah yang bukan rahsia lagi,” katanya.
Semalam, Bukit Aman mengesahkan telah selesai merakam percakapan Muhammad Sanusi berhubung kenyataannya berkaitan Pulau Pinang milik Kedah di pejabatnya di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, rakaman itu dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, polis sudah memulakan siasatan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan terhadap kenyataan Muhammad Sanusi.
Katanya, sebahagian daripada laporan sudah dikemukakan kepada Peguam Negara dan sedang menunggu tindakan selanjutnya.